November 2018 ~ Media Pantas

Friday, November 23, 2018

'Kesimpulannya, Jho Low tipu saya' - Najib

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui kerajaan Malaysia telah ditipu oleh Jho Low berhubung aktiviti yang dijalankan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Dalam wawancara khas bersama Sinar Harian hari ini, beliau membuat kesimpulan demikian selepas mengambil segala bukti dan dokumen yang didedahkan pihak  berkaitan.


“Itulah kesimpulannya (bahawa kerajaan ditipu Jho Low) kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itulah sebenarnya..,” katanya.

 

Dalam wawancara itu, Najib menegaskan hubungan beliau dengan Jho Low tidak lebih dari sekadar hubungan profesional, iaitu dalam melancarkan urusan perniagaan 1MDB, serta usaha membawa masuk pelaburan dan meningkatkan hubungan dengan negara Timur Tengah, khususnya UAE dan Arab Saudi.


Beliau berkata, sekiranya jelas Jho Low melakukan pecah amanah, individu berkenaan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.


Sumber : Astro Awani

Monday, November 19, 2018

Polis tidak halang perhimpunan ICERD, cuma pantau - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan menghalang perhimpunan mega anjuran UMNO dan PAS bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijangka akan diadakan 8 Dis ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya polis hanya akan memantau perhimpunan tersebut bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Setakat ini polis cuma akan memantau situasi.

"Kita juga menasihati mereka supaya tidak melakukan provokasi atau buat masalah lain," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai negara mengamalkan prinsip demokrasi, tidak ada keperluan untuk pihak kerajaan menghalang perhimpunan tersebut, bagaimanapun perlu ada garis batasannya.

Katanya, undang-undang sedia ada juga mencukupi dan ketika ini, beliau yakin suasana masih terkawal.

"Perhimpunan ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Walaupun kita terbuka, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa pun bebas menyuarakan pendapat tetapi perlu ada had.

"Kita tidak mahu ada provokasi perkauman dan sentimen agama yang akhirnya mengundang masalah. Tetapi setakat ini, keadaan masih terkawal."


Sumber : Astro Awani

Apple lancar produk baru MacBook Air, iPad Pro, Mac Mini

KUALA LUMPUR: Apple pada Selasa melancarkan tiga produk baru, iaitu MacBook Air, Mac Mini dan iPad Pro.

Kemunculan semua produk ini memang dijangka kerana tempoh mengemaskini pelancaran produk ini telah pun melewati beberapa tahun.

MacBook Air

Kali terakhir MacBook Air dikemaskini ialah pada Mac 2015. Ini memberikan gambaran yang jelas kepada para analisis industri teknologi di mana waktu untuk Apple mengemaskinikan produk ini telah tiba.

Apple melancarkan MacBook Air dengan paparan Retina display berukuran 13.3-inci.

Produk ini mempunyai Touch ID, membolehkan pengguna untuk membuka kunci komputer ini menggunakan wajah muka dan juga cap jari.

Apple menyatakan bahawa bateri MacBook Air ini mampu tahan sepanjang hari - 13 jam menonton video berterusan, atau 12 jam melayar web/internet berterusan. 

Produk ini didatangkan dalam tiga warna - emas, perak, dan kelabu 'space grey'. Ia dibentuk menggunakan aluminium yang 100 peratus dikitar semula. Ini dijayakan dengan mencipta aloi yang unik oleh Apple.

MacBook Air ini dijual dengan harga USD1,199 di Amerika Syarikat. Harga di pasaran tempatan belum diumumkan lagi.

Mac Mini

Buat pertama kali dalam lebih lima tahun, Mac Mini dikemaskini.

Mac Mini kini boleh beroperasi lima kali ganda kepantasan dari model sebelumnya, hasil dari empat teras pemprosesannya. Ia juga boleh dikonfigurasi hingga ke enam teras.

Memori Mac Mini didatangkan dalam 32GB dan 64GB, menjadikan ia antara komputer paling laju di pasaran. 

Harga Mac Mini ini di Amerika Syarikat ialah USD799. Harga tempatan belum diumumkan. 

iPad Pro

iPad Pro yang baru adalah peranti yang termoden dan paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh Apple. Sehingga kini, lebih 400 juta iPad telah terjual, menjadikan iPad peranti tablet yang bukan sahaja paling popular, tetapi komputer yang paling popular di dunia.

iPad terbaru ini mempunyai skrin penuh, dan didatangkan dalam dua model berbeza, iaitu model 11-inci dan 12.9-inci.

Peranti ini tidak mempunyai Home Button, maka pergerakan tangan di alat baru ini sama seperti pergerakan yang ketika ini digunakan oleh iPhone X, iPhone XS dan XR.

Paparan Liquid Retina dibantu oleh Face ID dan dipacu oleh A12X Bionic cip yang mempunyai kepantasan Next-Gen Neural Engine, membolehkan ia berfungsi 92 peratus lebih pantas dari komputer riba yang ada di pasaran sekarang.

iPad Pro baru ini dibekalkan dengan USB-C konektor, dan boleh dibeli dalam 1TB simpanan memori.

Apple Pencil & Smart Keyboard Folio

Apple juga mengambil kesempatan untuk melancarkan produk sampingan iPad Pro, iaitu Apple Pencil Generasi Kedua, dan Smart Keyboard Folio, juga Generasi Kedua. Aksesori ini boleh dibeli berasingan dan memberi kebolehan yang lebih agresif kepada pengguna iPad Pro.


Sumber : Astro Awani

Ketagihan media sosial boleh luntur semangat pesakit kanser

KUALA LUMPUR: Bagi penghidap kanser atau penyakit berbahaya lain yang berkongsi pengalaman dan rawatan mereka di media sosial, mereka boleh patah semangat dengan gurauan dan tohmahan di ruangan komen media sosial.

Mengulas lanjut, seorang pesakit kanser yang kini dalam proses penyembuhan, James Oh berkata platform media sosial boleh bertukar menjadi toksik dan memberi kesan negatif kepada pesakit.

"Pengguna media sosial (penghidap kanser) berkongsi keadaan mereka sama ada ketika menerima rawatan atau dalam wad. Namun ia mengundang pelbagai tohmahan sehingga melemahkan semangat pesakit.

"Bagi saya perkara seumpama ini tidak patut berlaku sebaliknya masyarakat perlu menjaga adab bercakap walau sekadar di laman sosial," katanya ketika ditemui selepas pelancaran bukunya yang bertajuk 'Cancer: My Wake Up Call', di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman melawan kanser perut, James berkata untuk menjauhi elemen negatif ini pesakit kanser perlu mengelak daripada ketagihan media sosial sebaliknya mengisi masa terluang ketika menjalani rawatan dengan membaca atau mencari maklumat mengenai penyakit itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau yang disahkan menghidap kanser perut tahap tiga pada Julai lepas mengambil sikap menjauhkan diri daripada sebarang elemen negatif dan mendekatkan diri dengan komuniti pesakit kanser.

"Saya mula menulis buku ini ketika menerima kira-kira 12 jenis rawatan. Ia ambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk siapkan penulisan," kata anak kelahiran Pulau Pinang yang kini menjalani rawatan tradisional terapi akupuntur.

James berkata buku 'Cancer: My Wake Up Call' setebal 97 muka surat itu berkisar tentang perjalanan beliau ketika disahkan menghidap kanser serta rawatan yang diterima. Ia dijual pada harga RM50 senaskah yang boleh didapati di mana-mana kedai buku terkenal.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara (PNM), Datuk Nafisah Ahmad berkata sebagai tanda sokongan semangat terhadap James, pihak PNM bersetuju membeli sebanyak 509 naskah buku tersebut untuk diedarkan ke perpustakaan desa seluruh negara bermula tahun hadapan.

"Perkongsian daripada James ini amat berguna kepada kita semua. Apa sahaja penyakit perlu dihadapi dengan cekal malah perlu diingat, keluarga terdekat berperanan sebagai pembakar semangat," katanya yang juga memiliki anggota keluarga menghidap kanser.

PNM sehingga kini mempunyai 892 buku berkaitan kanser, kata Nafisah.

-- BERNAMA


Sumber : Astro Awani

Sunday, November 18, 2018

Anwar sah Presiden PKR, Azmin kekal timbalan


SHAH ALAM: Seperti dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sah sebagai Presiden PKR yang baharu bagi penggal 2018-2021.

Sementara Timbalan Presiden parti dimenangi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewakan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Senarai barisan kepimpinan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat bagi penggal 2018-2021 itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat JPP Datuk Rashid Din.

Manakala Naib Presiden PKR pula Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin.

Pemilihan PKR mula berlangsung pada September lalu.

Ini merupakan pemilihan pertama kali yang diadakan selepas PKR membentuk kerajaan di bawah payung Pakatan Harapan.

Bagi pemilihan kali ini sebanyak 76 jawatan dipertandingkan di peringkat pusat dan 10,212 jawatan lagi membabitkan persaingan di peringkat cabang.

Semalam Haniza Mohd Talha diumumkan sebagai Ketua Wanita menggantikan Zuraida Kamaruddin.

Manakala Akmal Nasrullah Mohd Nasir dipilih sebagai Ketua AMK baharu, menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad.


Sumber : Astro Awani

Azmin Ali yakin PH dapat tawan Sarawak

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin Pakatan Harapan akan dapat menawan Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata ahli PKR perlu bekerja dengan lebih kuat dan berkhidmat kepada rakyat.

“Kita angkat martabatkan cabang dan semua peringkat, kita jaga rakyat dan santuni mereka seolah kita nak hadapi pilihan raya sekarang.

“Ayuh kita berkampung di Sarawak kalau boleh menang di Johor dan Melaka saya yakin kita boleh menang di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional ke 13.

Azmin berkata usaha menjaga kebajikan rakyat terutama Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dan ini dibuktikan dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11).

“Dalam RMK11 kita bersetuju enam negeri akan diberi keutamaan, tidak kira negeri pembangkang atau kerajaan. Pakatan Harapan sebagai kerajaan bertanggungjawab memang nak jaga rakyat kita bukan nak berpolitik.

“Dan dalam Belanjawan 2019 kita setuju Sabah dan Sarawak diberi peruntukan lebih besar daripada apa yang mereka perolehi pada zaman Barisan Nasional," katanya.


Sumber : Astro Awani

Jangan sampai rakyat tertanya-tanya apa kerajaan buat - Wan Azizah

SHAH ALAM: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat negeri perlu berusaha untuk menjaya dan menerangkan kepada rakyat tentang polisi dan program kerajaan.

Bagaimanapun Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan, tidak ada masalah untuk mana-mana pihak mengkritik dan melontarkan pandangan berbeza jika ianya dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

"Siapa lagi yang akan menerangkan kepada rakyat tentang polisi kita jika bukan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

"Oleh itu saya seru supaya jawatankuasa dan biro penerangan baik pusat dan negeri lebih proaktif untuk turun ke setiap pelusuk negeri dan bertemu rakyat bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu berbangkit.

"Janganlah sampai rakyat tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Mereka menyoal kerana mereka tidak dapat melihatnya atau diperjelaskan oleh kita," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu kata Dr Wan Azizah, agenda reformasi adalah suatu proses berterusan dan bukan hanya menitip di bibir, dilaung di udara dan ditulis di kalam.

Jelasnya, ia perlu lahir dari diri, jiwa dan perlu jelas dengan prinsip idealisme agenda reformasi.

"Usaha untuk menterjemah agenda reformasi ini bukan tidak boleh dicapai jika ia hanya diperjuangkan oleh hanya seorang individu; tetapi agenda ini akan lebih berjaya jika diperjuang, disokong dan dijayakan oleh semua anggota dan keadilan itu sendiri.

"Oleh itu, untuk meneruskan perjuangan reformasi ini, PKR terlebih dahulu harus diperkemas dan diperkuatkan organisasinya.

"Kita wajib bersatu hati dan mengekalkan kekuatan ukhwah persaudaraan kita kerana agenda yang lebih besar yang perlu dicapai ialah menterjemahkan reformasi itu didalam pemerintahan kerajaan negeri mahu pun pusat," ujarnya.


Sumber : Astro Awani

Thursday, November 15, 2018

Projek hibrid solar: Rosmah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1.5 juta

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek tenaga sekolah luar bandar di Sarawak.

Jumlah berkenaan merupakan 15 peratus dari kontrak Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Pembayaran itu dipercayai bagi membantu Jepak Holdings mendapat tender langsung dari Kementerian Pendidikan bagi projak solar di 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Dalam pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta dari Saidi (pada 7 Sept, 2017) untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek hibrid solar.

Rosmah mengaku tidak bersalah untuk kedua-dua pertuduhan.

Beliau dibenarkan ikat jamin sejumlah RM1 juta dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 10 Disember depan.


Sumber : Astro Awani

Rina nafi peruntukan MARA dipotong 50 peratus

KUALA LUMPUR: Dakwaan pemotongan 50 peratus peruntukan bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Belanjawan 2019 adalah tidak benar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

Rina berkata malah agensi di bawah kementerian itu menerima peruntukan RM3.705 bilion bagi Belanjawan 2019.

"Saya ada terbaca (dakwaan pengurangan bajet MARA). Terkejut sangat saya bila dikatakan peruntukan MARA turun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.3 bilion.

"Saya menafikan dan fakta itu adalah salah. Sebenarnya peruntukan untuk MARA pada 2019 adalah RM3.7 bilion. RM1.3 bilion itu adalah perbelanjaan mengurus sahaja.

"Saya minta Anggota Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) baca buku Belanjawan 2019," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik KPLB 2017.

Rina mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa peruntukan MARA dipotong sehingga 50 peratus.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai desas-desus rombakan kabinet yang mengaitkan namanya sebagai antara individu yang akan digugurkan, Rina berkata beliau tidak mengetahui perkara tersebut.

"Itulah. Kalau dia (kerajaan) nak (gugurkan)... kenapa dia bagi MARA dekat saya pula. Tempat yang orang berebut-rebut nak.

"Saya tak dengar pasal tu (pengguguran). Itu adalah luar skop (tugas) saya dan ia di bawah (prerogatif) perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

"Cuma sekarang, saya nak fokuskan apa yang dirancang iaitu Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar," katanya.

Ditanya sama ada beliau terkesan dengan khabar angin tersebut, Rina berkata beliau akan tetap memberikan fokus dengan segala pelan yang telah dirancang di bawah kementeriannya.

"Saya akan jalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan selagi saya memegang jawatan ini," katanya.

-- BERNAMA


Sumber : Astro Awani

Wednesday, November 14, 2018

Equanimity tiba di Langkawi untuk simpanan sementara

LANGKAWI: Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiba di sini hari ini untuk tujuan simpanan sementara selepas belayar dari Pelabuhan Klang, semalam.

Kapal sepanjang 92 meter itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sini, kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim.

"Dua buah bot peronda polis iaitu PA45 dan PSC18 bersama sebuah kapal perang TLDM, KD Teguh telah mengiringi kapal layar itu sepanjang perjalanan sebelum tiba di sini jam 10.35 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau, bagaimanapun, tidak menyebut tempoh masa kapal mewah itu akan berada di Langkawi dan hanya menyatakan ia akan dikawal oleh TLDM di pangkalan mereka sepanjang berada di sini.

Ketibaan bot di sini turut menarik minat ramai netizen selepas foto ia berlabuh di jeti pangkalan TLDM di sini tular di media sosial.

Pada 26 Okt lepas, Mahkamah Admiralti telah meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan bagi kapal berkenaan yang telah bermula 29 Okt lepas dan akan berakhir pada 28 November ini.

Peguam Ong Chee Kwan,yang mewakili 1MDB, telah menyatakan mereka yang berminat untuk membida kapal itu perlu membayar deposit sebanyak AS$1 juta (RM4.17 juta).

Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Kapal mewah yang dinilai berharga AS$250 juta (RM1.42 bilion) itu dikatakan telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, dengan menggunakan dana dari 1MDB.

Ia telah disita di Bali, Indonesia pada Februari lepas sebelum kerajaan negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia, Ogos lepas.

-- BERNAMA


Sumber : Astro Awani

Dirogol bergilir-gilir akibat gagal jawab panggilan telefon teman lelaki

SUNGAI PETANI: Berang dengan sikap bekas kekasihnya yang tidak menjawab panggilan telefonnya, seorang lelaki berusia 18 tahun bertindak merogol gadis berusia 16 tahun itu di sebuah rumah di Sungai Lalang, baru-baru ini.

Kejadian berlaku jam lebih kurang 11 malam pada 11 Nov lalu di sebuah rumah di Taman Bandar Baru selepas mangsa dihubungi bekas kekasihnya untuk bertemu. Sebaik bertemu, mangsa dibawa ke rumah milik rakan suspek dan suspek kemudian bertindak merogol mangsa secara bergilir bersama rakannya.

Selepas melakukan perbuatan keji itu, suspek menghantar mangsa pulang dan mangsa kemudian memberitahu kedua ibu bapanya tentang kejadian itu.

Ibu bapa mangsa kemudian membawa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala,  ACP Adzli Abu Shah mengesahkan menerima laporan tersebut.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bedong bertindak menahan dua suspek berusia 18 dan 19 tahun dalam serbuan berasingan di dua rumah dekat Bedong antara pukul 1 dan 2 pagi tadi.

Kedua-dua suspek kemudian direman mulai hari ini sehingga 20 Nov bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Sumber : Astro Awani

Tiada berita baik untuk menteri, timbalan gaji tetap akan dipotong

KUALA LUMPUR: Pemotongan gaji jemaah menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus tetap akan diteruskan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau menegaskan masih belum menerima sebarang arahan untuk menamatkan pemotongan gaji  menteri dan timbalan.

“Sama ada potongan itu akan berhenti, bukan saya yang putuskan. Setakat ini saya  tidak menerima apa-apa arahan, jadi gaji mereka akan tetap dipotong 10 peratus.

“Nampaknya tak ada berita baik untuk menteri dan timbalan menteri,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa pemotongan gaji menteri dan timbalan disalurkan kepada kerajaan dan bukannya pada Tabung Harapan Malaysia

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas adakah pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri akan ditarik balik selepas Tabung Harapan Malaysia ditutup pada Disember depan.

Potongan gaji sebanyak 10 peratus turut dilakukan ke atas ketua menteri dan 10 exco di Johor, Pulau Pinang dan Kedah.


Sumber : Astro Awani