October 2018 ~ Media Pantas

Monday, October 15, 2018

Inilah 7 Cara Rawatan Kerak Di Kepala Bayi Ibu Bapa Perlu Tahu


Sekiranya anda melihat kulit kepala bayi berkerak dan adakalanya kelihatan seperti kelemumur, tebal, berminyak, kerak bertompok kecoklatan, itu sebenarnya adalah cradle cap atau kulit berkerak.

Pakar perubatan memanggilnya sebagai infantile seborrheic dermatitis, dan ia adalah perkara biasa di kalangan bayi. Sementara itu di kalangan orang Melayu, masalah ini dikenali sebagai sawan.

Kulit kepala berkerak kerap berlaku pada beberapa bulan awal usia bayi dan biasanya akan hilang dengan sendiri kira-kira enam ke 12 bulan usianya walaupun ada sesetengah kanak-kanak akan menghidapnya dalam jangka masa panjang.

Anda mungkin menyedari keadaan yang sama berlaku di sekitar telinga, kening bayi, kelopak mata atau ketiaknya.

Apa punca kerak?

Puncanya masih tidak diketahui secara spesifik. Tetapi kita maklum ia bukan disebabkan oleh tahap kebersihan yang teruk atau alahan. Mungkin sesetengah ibu bapa bimbang melihat keadaan bayi mereka kerana ditakuti boleh membawa penyakit lain yang lebih serius.

Sesetengah pakar percaya hormon yang diterima oleh bayi daripada ibu di akhir kehamilan menyebabkan rangsangan lebih penghasilan kelenjar minyak (seborrheic) oleh bayi, menyebabkan berlaku kerak kepala.

Kerengsaan daripada yis yang membesar dalam sebum (bahan dihasilkan oleh kelenjar) juga dikatakan punca berlakunya masalah kerak. Kerak kepala tidak berjangkit tetapi ia mungkin menyebabkan sedikit kegatalan kepada bayi.

Bagaimana merawatnya?

Sebenarnya anda tidak perlu membuat apa-apa, tetapi jika rasa terganggu, berikut beberapa cara yang boleh dicuba:


  • Urut perlahan-lahan kulit kepala bayi dengan jari anda atau berus yang lembut untuk melonggarkan kerak tersebut.
  • Syampu rambut bayi lebih kerap (setiap hari), tetapi pastikan dibilas dengan betul.
  • Selepas syampu, berus perlahan-lahan kulit kepala bayi dengan berus lembut atau tuala lembut.
  • Ada ibu bapa yang berjaya menanggalkan kerak dengan kaedah bersyampu tetapi jika kerak jenis yang degil, anda boleh cuba menyapu minyak bayi.
  • Guna minyak bayi jenis almond atau minyak zaitun. Sapukan pada kulit kepala bayi. Biarkan lebih kurang 15 minit. Kemudian, perlahan-lahan sikat kepingan menggunakan sikat gigi atau berus lembut.
  • Pastikan ia diikuti dengan membasuh kulit kepala bayi dengan syampu bayi yang lembut.
  • Anda boleh juga biarkan sapuan minyak tersebut di kepalanya bagi membolehkan pori tersumbat dan menyebabkan kepingan tertanggal.


  • Perlukah berjumpa doktor?

    Jumpa dengan doktor apabila keadaan kerak di kepalanya bertambah teruk, terdapat pendarahan atau tersebar melebihi kulit kepala bayi. Doktor mungkin mencadangkan preskripsi syampu kelemumur atau jika kulit kepala semakin teruk, ubat krim kortison dicadangkan.

    Sekiranya, jangkitan yis menjadi punca masalah, doktor akan mencadangkan penggunakan ubat anti kulat. Bagi yang ingin mencuba cara tradisional menggunakan ubatan semulajadi boleh lihat video di bawah:


    Sumber : Petua Ibu

    Sunday, October 14, 2018

    Ramai rakyat Malaysia dapat penyakit jantung pada usia muda


    KUALA LUMPUR: Penyakit jantung atau kardiovascular (CVD) menyerang rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda berbanding di negara jiran, demikian menurut Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.

    Merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan 2017, rakyat negara ini mendapat penyakit jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).

    Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 pula menyebut kadar kematian akibat CVD di kalangan rakyat Malaysia ialah 36 peratus.

    Dianggarkan 17.7 juta meninggal dunia akibat CVD pada 2015, iaitu 31 peratus daripada keseluruhan kematian CVD di dunia.

    Dr Ahmad Khairuddin mengaitkan CVD termasuk serangan jantung dan strok dengan kandungan kolesterol yang tinggi di dalam darah.

    Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, dianggarkan 47.7 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kolesterol darah yang tinggi, yang dikenali juga sebagai "hypercholesterolemia".

    Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding 32.6 peratus pada 2011.

    "Perubahan tingkah laku individu berkait dengan gaya hidup adalah penting. Perlu lebih banyak senaman, makan makanan sihat, elakkan alkohol dan lemak tidak tepu pelbagai 'polyunsaturated fat' dan kurangkan kalori.

    "Meskipun rawatan termasuk rawatan perubatan statin boleh membantu mengurangkan kolesterol yang tinggi, pencegahan lazimnya lebih baik dan mengamalkan gaya hidup yang sihat penting untuk mengurangkan risiko, " jelas beliau.

    Beliau menambah beberapa kesan CVD termasuk ketidakmampuan fizikal, beban kewangan, tekanan emosi bukan sahaja yang ditanggung pesakit tetapi juga penjaga mereka.

    Dr Ahmad Khairuddin ditemui ketika pelancaran "Repatha (evolocumab)" iaitu kaedah rawatan baru untuk kolesterol jahat (LDC-C) yang tinggi dan tidak dapat dikawal, anjuran Zuellig Pharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    KENALI KOLESTEROL

    Kolesterol adalah sejenis lemak yang terdapat dalam darah.

    Di samping organ hati manusia yang menghasilkan kolesterol ini, ia juga boleh didapati di dalam sesetengah makanan seperti daging merah, keju mengandungi lemak yang tinggi, mentega dan telur.

    Ketahuilah bahawa kolesterol penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik, umpamanya untuk pencernaan makanan, penghasilan hormon serta vitamin D.

    Bagaimanapun, perlu diingatkan paras kolesterol yang tinggi di dalam darah mungkin boleh menyebabkan penyakit jantung atau kardiovaskular (CVD) termasuk serangan jantung dan strok.

    Kolesterol mungkin wujud dalam dua bentuk iaitu kolesterol "high-density lipoprotein" (HDL-C atau kolesterol baik) dan kolesterol "low density lipoprotein" (LDL-C atau kolesterol jahat).

    Peranan HDL adalah untuk mengambil kolesterol dari tisu ke hati untuk disingkirkan daripada tubuh yang dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, sementara LDL pula membawa kolesterol ke tisu yang mungkin menyumbat salur darah. Oleh yang demikian, paras tinggi LDL dikenali sebagai faktor risiko utama untuk CVD.

    "Gaya hidup yang tidak sihat serta corak pemakanan yang tidak seimbang, obesiti, menghisap rokok, pengambilan gula yang tinggi dan penyakit lain seperti diabetes melitus atau kegiatan kelenjar tiroid yang rendah adalah antara punca peningkatan kolesterol dalam darah. Di samping itu, kelainan genetik yang menyebabkan paras tinggi LDL-C dipanggil "Familial Hypercholesterolemia" (FH) juga menyumbang kepada penyakit ini.

    "Ada dua jenis FH iaitu 'Heterozygous Familial Hypercholesterolemia' (HeFH) dan 'Homozygous Familial Hypercholesterolemia' (HoFH). HeFH berlaku apabila mutasi genetik diwarisi daripada ibu atau bapa sementara HoFH (versi yang lebih teruk) diwarisi daripada ibu dan bapa. Keadaan ini memerlukan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan CVD lebih awal, " beliau memberitahu Bernama.

    "PEMBUNUH SENYAP"

    Kebanyakan mereka yang mempunyai kadar kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala dan ramai yang tidak sedar akan keadaan kesihatan mereka.

    Ini akan hanya dapat dikesan apabila ujian darah dilakukan, justeru, ia juga dikenali sebagai "pembunuh senyap."

    Menurut Dr Ahmad Khairuddin, sekiranya keadaan ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan 'atherosclerosis', iaitu pengumpulan kolesterol di dalam arteri atau pembuluh darah yang kemudiannya membentuk deposit dipanggil plak.

    "Plak terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium serta benda lain yang terdapat dalam darah dan akan mengeras, kemudiannya menyempitkan arteri. Keadaan ini menghadkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke organ dan bahagian lain tubuh.

    "Ini boleh menyebabkan 'angina' atau sakit dada yang berlaku apabila bekalan darah ke jantung terjejas akibat arteri yang tersumbat, atau serangan jantung sekiranya arteri yang sarat dengan plak pecah dan berlaku darah beku, atau strok jika aliran darah ke otak tersekat akibat arteri yang tersumbat, " jelasnya.

    Di sebalik tanda yang tidak jelas, Dr Ahmad Khairuddin bagaimanapun berkata, seseorang itu mungkin perlu melihat beberapa "tanda awal" terutama di atas kulit mereka untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai penyakit berkenaan.

    Ini mungkin tanda fizikal seperti tompok kuning di sekitar kulit kelopak mata dikenali sebagai 'xanthelasma palpebrarum', kelihatan 'lengkuk' putih atau kelabu di dalam mata "Arcus senilis' atau deposit kuning (benjol) di dalam tendon yang dipanggil 'xanthomata'.

    RAWATAN "REPATHA"

    Ubat 'statin' yang biasanya diberikan untuk mengurangkan LDL-C yang tinggi, bagaimanapun tidak cukup bagi sesetengah pesakit.

    Dalam hal ini, Repatha - sejenis perencat 'proprotein convertase subtilisin/kexintype 9' (PCSK9) untuk menurunkan paras kolesterol darah yang tinggi penting bagi mengurangkan LDL-C bagi pesakit yang tidak mendapat kesan optimum terapi menggunakan statin.

    Juga dikenali sebagai rawatan baru untuk LDL-C yang tinggi dan tidak dapat dikawal, Repatha boleh digunakan secara kombinasi dengan statin untuk pesakit yang tidak dapat mencapai pengurangan LDL- C walaupun diberi dos statin yang maksimum.

    Sementara itu, Perunding Pakar Kardiologi, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Choo Gim Hooi yang turut berada di majlis berkenaan berkata kombinasi Repatha dan statin mungkin dapat mengurangkan LDL-C sehingga 77 peratus berbanding terapi statin semata-mata.

    "Repatha adalah selamat untuk digunakan dan tidak ada kesan sampingan yang besar. Ini adalah antara inovasi paling penting dalam pengurusan kolesterol sejak 30 tahun.

    "Kami akan memantau kesannya ke atas kehidupan pesakit dan penggunaannya juga dapat membantu mengurangkan kos CVD, " kata Dr Choo. Rawatan Repatha dibuat setiap dua minggu atau bulanan, secara suntikan.

    Repatha boleh diperolehi di Malaysia sejak April 2018 dan diedarkan oleh Zuellig Pharma serta dikilangkan oleh Amgen. - Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

    Sumber : Astro Awani

    Saleem Iklim meninggal dunia


    KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Saleem Iklim meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kira-kira jam 6 pagi ini.

    Pemilik nama sebenar A.M Saleem Abdul Majeed itu berusia 57 tahun.

    Berita tersebut disahkan anak tirinya, Iera Fakhira, menerusi entri terbaharu di akaun Facebook miliknya.

    Jenazahnya ketika ini masih berada di hospital dan dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Bukit Mahkota, Cheras untuk diuruskan.

    Allahyarham Saleem yang popular bersama kumpulan Iklim menerusi lagu Suci Dalam Debu, dimasukkan ke HUKM akibat kemalangan jalan raya pada 21 September lalu kerana mengalami patah tulang rusuk.

    Sumber : Astro Awani

    Saturday, October 6, 2018

    MyEG perkenalkan perisian pengurusan gaji berasaskan 'blockchain'

    KUALA LUMPUR: MY E.G. Services Bhd (MyEG) memperkenalkan perisian pengurusan gaji berasaskan blockchain, PayMe, bagi membantu syarikat merekod dan menguruskan kerja lebih masa pekerja dengan tepat dan berkesan.

    Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu berkata, ujian percubaan akan dimulakan di beberapa tempat tidak lama lagi.

    PayMe, perkhidmatan langganan bulanan, direka bentuk khusus untuk syarikat yang menggunakan tenaga kerja besar dengan imbuhan yang dinamik.

    MyEG menyasarkan pelanggan korporat sedia ada yang menggunakan pelbagai perkhidmatannya sebagai pengguna PayMe, kata syarikat itu.

    "Memanfaatkan faedah blockchain adalah antara teras fokus MyEG pada masa ini. Kami percaya bahawa MyEG berada dalam kedudukan yang betul untuk menggunakan penyelesaian blockchain di seluruh industri dengan memaksimumkan potensi lejar yang diedarkan," kata Pengarah Urusan, TS Wong.

    Menurut syarikat itu, reka bentuk blockchain sesuai untuk menyelesaikan ketidakcekapan dalam pengurusan gaji melihat kepada kekangan teknologi, yang mana data tidak boleh diubah secara sehala selepas ia direkodkan

    Tambahan lagi katanya, sifat blockchain bermakna pihak berkepentingan akan mendapat akses kepada data, memastikan ketelusan dan meminimumkan kemungkinan potensi pertikaian.

    -- BERNAMA


    Sumber : Astro Awani

    Friday, October 5, 2018

    Malaysia tubuh tabung bencana Sulawesi

    PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan penubuhan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi, Indonesia.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini, berkata tabung tersebut akan diselaraskan agensi itu menggunakan nombor akaun Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara yang diaktifkan semalam.

    "Tempoh operasi tabung ini adalah selama sebulan," katanya.

    Nadma berkata sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat bernombor 16010000882-71-8 atau melalui cek atas nama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara.

    Bukti transaksi berkenaan perlu dihantar ke nombor 012-6519563 atau 012-2344048 untuk dijadikan rekod.

    Pada 28 Sept lepas, Sulawesi Tengah dikejutkan dengan beberapa siri gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang turut mencetuskan tsunami.

    Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, setakat tengah hari semalam, bencana itu mengorbankan 1,407 orang.

    -- BERNAMA

    Sumber : Astro Awani

    Thursday, October 4, 2018

    Petua mencerahkan kulit wajah secara asli

    Setiap wanita mengimpikan untuk memiliki kulit wajah yang bersih dan putih. Sapa yang taknak kan bila orang puji ‘eh Mona, putihnya kulit kau’ ‘wahh minah sekarang bukan main bersih lagi kulit kau, cerah pulak tu’.

    Hahhh tak salah nak putih dan cerahkan kulit tapi jangan sampai memudaratkan diri sendiri. Iyalah, zaman sekarang ni kan terdapat banyak lambakan produk-produk pemutihan kulit yang dijual kat luar sana.

    Awas ye kawan-kawan, jangan kerana obses nak putih, diri sendiri yang menanggung sengsara.

    Harini saya nak kongsikan 4 tips macam mana untuk kita dapatkan kulit yang cerah dan putih secara semulajadi.

    BUAT MASKER MADU DAN YOGURT
    Seperti susu, yogurt mengandungi enzim yang boleh memutihkan kulit dengan lembut. Madu mempunyai ciri-ciri pelembapan dan anti bakteria. Adunan kedua-dua bahan ini akan menghasilkan masker yang menyihatkan.

    Caranya : Campurkan satu bahagian madu dan satu bahagian yogurt, kemudian sapukan campuran tersebut ke seluruh muka anda. Biarkan selama 15 minit, kemudian bilas dengan air suam.

    Pastikan anda guna yogurt biasa tanpa gula (plain). Yogurt berperisa akan menjadi terlalu melekit.
    Sebagai ganti madu, cuba gantikan dengan buah avocado atau gunakan daun lidah buaya (aloe vera). Kedua-dua ramuan ini juga mempunyai kesan pelembapan yang bagus.

    SKRUB BIJI KOPI DAN MINYAK ZAITUN
    Serbuk kopi berupaya menghasilkan minyak antioksida yang berfungsi mencerahkan dan menghaluskan kulit wajah. Untuk mendapat kesan cerah sempurna pada kulit, lakukan cara ini sekerap yang mungkin.

    Caranya : Pertama sekali, campurkan serbuk kopi dengan minyak zaitun. Kacau kesemua bahan dan lulurkan ke seluruh tubuh termasuk wajah anda.

    Gosok perlahan-lahan dan biarkan selama sejam sebelum dibilas dengan air campuran garam. Selepas itu, mandi seperti biasa.

    BARLI GORENG DAN JUS LIMAU
    Umum mengetahui barli menjadi pilihan utama untuk menghilangkan panas dalam badan ketika demam. Tetapi harus di ambil tahu yang barli ni juga digunakan sebagai bahan untuk mencerahkan kulit kerana kandungan protein, karbohidrat, vitamin dan galian di dalamnya merupakan sumber terbaik serat pemakanan.

    Jika ingin kelihatan cantik, maka anda perlu rajin untuk mengamalkan petua ini.

    Caranya : Ambil segenggam barli yang telah digoreng tanpa minyak. Tumbuk barli tersebut hingga lumat dan bancuh dengan sedikit perahan limau nipis yang telah dicampurkan air masak. Sapukan bancuhan air tersebut di seluruh wajah sebelum tidur.

    CUKUPKAN KEPERLUAN ASAS TUBUH
    Kurang minum air boleh menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi dapat membuatkan kulit menjadi kering dan kusam. Untuk itu, kita harus mengambil mineral yang mencukupi setiap hari.

    Caranya : Semudah ABC iaitu dengan banyakkan minum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

    Walaupun nampak remeh, percayalah minum air putih akan memberikan banyak manfaat untuk tubuh kita.

    Selain pengambilan air masak yang cukup, pengambilan Vitamin C juga dapat membantu untuk mencerahkan kulit secara semulajadi. Ini kerana Vitamin C membantu memperlahankan pengeluaran melanin.

    Vitamin C menghalang enzim tyrosinase. Jadi, kuranglah penghasilan pigment

    Vitamin C bertindak sebagai anti-oksidan yang menentang radikal bebas yang menyebabkan kulit cepat tua dan semakin gelap. Ia juga dapat meningkatkan paras glutathione dan Vitamin E dalam badan kita. Nampak tak kedua-dua vitamin ini sangat dikenali sebagai anti-oksidan yang bagus. Glutathione yang terhasil akan merangsang penghasilan Pheomelamin yang lebih cerah berbanding penghasilan melamin Eumelamin.

    Beberapa penyelidikan yang dijalankan turut membuktikan sapuan Vitamin C pada kulit mampu membaiki kulit yang rosak disebabkan pendedahan cahaya matahari.

    Selain itu, Vitamin C berupaya menanggalkan sel-sel kulit mati dan menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru yang lebih sihat.

    Sumber : Facebook

    Operasi SAR remaja lelaki terjatuh dalam lombong diteruskan

    PUCHONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong diteruskan hari ini.

    Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Zon 5, Izman Adnan berkata operasi mengesan Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, diteruskan pukul 8 pagi ini dengan melakukan pencarian di kawasan tebing sepanjang 40 meter di lombong berkenaan.

    "Bomba mendapati arus dalam lombong masih deras pagi ini dan pasukan penyelam akan membuat penilaian dahulu sebelum membuat operasi.

    Difahamkan pasukan penyelam dari Polis Marin akan melakukan SAR dan bagi pihak bomba kami belum dapat pastikan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari mana akan datang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Ditanya sama ada teknik menyelam secara berkumpulan akan digunakan hari ini, beliau berkata pihaknya tidak dapat memastikan teknik yang akan digunakan.

    "Ia bergantung kepada keadaan cuaca serta arus di dalam lombong ini," katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati operasi SAR masih diteruskan anggota Bomba meskipun terkejut dengan tragedi enam anggota PPDA maut ketika menjalankan operasi mencari remaja lelaki di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

    Cuaca di kawasan kejadian setakat ini cerah dan anggota keluarga mangsa kelihatan berkumpul untuk mengikuti perkembangan operasi SAR.

    Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan di sekitar lombong terbabit.

    -- BERNAMA

    Sumber : Astro Awani

    Tragedi pertama kehilangan enam anggota serentak dalam insiden operasi


    SERDANG: Tragedi enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah yang pertama dalam sejarah jabatan itu melibatkan sekumpulan anggota terkorban pada satu masa.

    Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid yang ditemui di Hospital Serdang di sini, berkata sebelum ini ada insiden operasi SAR yang mengorbankan anggota bomba namun jumlah terlibat adalah kecil.

    "Ini kali pertama (enam anggota terkorban). Dulu pernah berlaku kes seumpama ini dan kami hilang dua anggota.

    "Kita telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tetapi tidak berjaya menyelamatkan mereka dan ini satu kejadian amat menyedihkan kita. Satu kes yang begitu ramai kakitangan kita terlibat dalam kemalangan," katanya.

    Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

    Mohammad Hamdan berkata JBPM akan melihat setiap aspek kebajikan kepada keluarga dan waris mangsa termasuk dari segi pampasan dan insurans.

    Beliau berkata Jabatan Forensik Hospital Serdang sedang melakukan bedah siasat ke atas kesemua mangsa.

    Katanya selepas selesai urusan bedah siasat, kesemua jenazah akan dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk upacara penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk pengebumian.

    Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun, dan Yahya Ali, 24 tahun.

    Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33 tahun, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.

    Katanya mangsa berasal dari Sibu, Sarawak: Tawau, Sabah; Kelantan; Port Dickson, Negeri Sembilan; dan dua dari Shah Alam, Selangor.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Balakong Wong Siew Ki turut berada di hospital itu menemui waris dan anggota keluarga mangsa.

    Sementara itu, Shamiza Salleh, 32 tahun, isteri seorang daripada mangsa, Adnan, berkata beliau menerima panggilan mengenai kejadian menimpa suaminya pada 11 malam.

    "Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh kawan dia (Adnan). Ketika itu saya berada di rumah," katanya.

    Shamiza, bagaimanapun tidak dapat bercerita lanjut kerana terlalu sedih.

    -- BERNAMA

    Sumber : Astro Awani

    Rakyat Malaysia tidak bersenam kerana kurang motivasi - Kaji selidik

    KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia didapati tidak bersenam kerana kurangnya motivasi untuk berbuat demikian.

    Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Cilisos.my dan Fitness First keatas 3,779 rakyat Malaysia bulan lepas, tiga sebab utama rakyat Malaysia tidak bersenam adalah kerana kurangnya motivasi (51.32 peratus), tidak mempunyai masa dan tiada teman untuk pergi bersama.

    Seramai 19.42 peratus menganggap berjalan berjam-jam di pusat membeli-belah sebagai satu bentuk senaman, purata senaman tekan tubi yang boleh dibuat tanpa henti adalah 18 kali, manakala berupaya berlari maraton dan memanjat gunung adalah antara sasaran yang ingin dicapai dalam kehidupan.

    Itu adalah beberapa pandangan yang diperolehi jenama pusat kecergasan antarabangsa Fitness First dalam tinjauan sempena kempen #THATMOMENT di enam negara di Asia -- Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

    Kempen bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mencapai lebih daripada apa yang mereka fikirkan sukar melalui jalan kekal cergas.

    "Kecergasan bukan sekadar latihan di gim dan mencapai sasaran anda. Kami percaya bahawa perasaan yang sihat memberi anda keyakinan, tenaga dan keyakinan diri untuk lebih maju dalam kehidupan," katanya.

    Sebahagian daripada kempen #THATMOMENT melibatkan peraduan transformasi, dimana dua pemenang akan dibiayai untuk menyertai acara maraton Angkor Wat di Kemboja atau mendaki Gunung Kinabalu di Sabah.

    Bakal mengiringi pemenang dalam cabaran Gunung Kinabalu adalah atlet dan pelari kudung, CK Loh, manakala personaliti tempatan, Davina Goh, akan bersama peserta ke maraton Angkor Wat.

    Untuk mempersiapkan diri bagi cabaran tersebut, para pemenang akan menjalani latihan khusus dengan pelatih peribadi Fitness First.

    Lawati www.fitnessfirst.com.my/highlights/thatmoment/ untuk maklumat lanjut berkenaan kempen #THATMOMENT.

    Tarikh akhir penyertaan adalah 7 Okt dan pemenang akan diumumkan seminggu kemudian.

    -- BERNAMA

    Sumber : Astro Awani

    Pengguna marah-marah, Instagram berhenti berfungsi!

    KUALA LUMPUR: Ramai pengguna Instagram hari ini berang bahawa mereka tidak dapat melihat gambar atau profil mereka serta pengguna lain.

    Pengguna hanya dipaparkan dengan profil kosong dan mesej seperti “halaman tidak dapat dikemaskini” atau “cannot refresh feed”.

    Selain itu, versi web aplikasi itu juga mempunyai masalah. Ia turut membawa kepada halaman Tajuk ke mana-mana halaman hanya membawa “Ralat Pelayan 5xx” atau "5xx Server Error".

    Isu ini bukan sahaja berlaku di Selatan Eropah, Australia dan Amerika, malah turut berlaku di negara lain termasuk Malaysia.

    Ramai pengguna Instagram meluahkan rasa tidak puas hati di laman Twitter kerana mereka tidak boleh melihat profil dan gambar mereka di laman itu.

    Masalah ini muncul tatkala Instagram mengalami masa yang sukar di mana dua pengasas laman berkenaan meninggalkan syarikat itu beberapa hari yang lalu.

    Ramai mula menyebarkan khabar angin bahawa kedua-dua pengasas itu tidak bersetuju dengan cara Facebook mengendalikan syarikat tersebut.

    Pada minggu lalu, Facebook dikaitkan dengan isu pengodaman.

    Ramai berpendapat bahawa jika Instagram menggunakan log masuk Facebook untuk pengguna menggunakan laman Instagram, maka Instagram juga bakal terdedah dengan masalah pengodaman seperti Facebook.

    Walaubagaimana pun, masalah ini tidak dapat dipastikan lagi sama ada ia berkait rapat dengan isu gangguan semasa ataupun masalah teknikal dari syarikat itu.

    Instagram merupakan laman sosial yang mempunyai ramai pengguna. Lebih dari 1 bilion orang menggunakan laman itu setiap bulan.

    Namun melalui pemerhatian di laman Twitter sekitar pkul 4.30 petang tadi, aplikasi itu kembali berfungsi seperti biasa.

    Sumber : Astro Awani

    Wednesday, October 3, 2018

    SPRM tahan Rosmah


    ISTERI bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya jam 3.20 petang hari ini.

    Sebelum itu, beliau tiba di bangunan berkenaan jam 10.42 pagi selepas dilihat menaiki Proton Perdana dan diiringi satu lagi kenderaan.

    Beliau yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi ibu pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan suruhanjaya berkenaan.

    Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

    Ini kali ketiga beliau hadir memberi keterangan.

    berita lanjut menyusul

    Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2018/10/382944/sprm-tahan-rosmah#cxrecs_s

    Tak lulus permit Island Music Festival


    KERAJAAN PAS Terengganu tidak meluluskan permohonan penganjur menganjurkan acara Island Music Festival 2018 yang dijadual diadakan di kawasan pantai di Pulau Redang, 12 hingga 14 Oktober ini.

    Difahamkan, acara berkenaan sudah dianjurkan sejak 2013 dan sebelum ini mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tetapi tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan untuk tidak mengeluarkan permit bagi penganjuran festival berkenaan diputuskan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri hari ini.

    Beliau berkata, keputusan itu diambil berikutan acara itu didapati bercanggah dengan moral dan adat ketimuran serta bercanggah dengan Enakmen Hiburan yang sudah ditetapkan, selain boleh mencalarkan imej kerajaan negeri.

    "Selain itu, acara ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Pulau Redang sendiri selepas tular di media sosial.

    "Penganjur ada memohon permit kepada PBT selepas perkara ini kecoh, tetapi penganjuran sebelum ini memang dianjurkan tanpa permit. Kita juga dah panggil penganjur untuk mengadakan perbincangan, tetapi mereka tidak datang," katanya selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak.

    Sementara itu Dr Alias berkata, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya tidak membenarkan beberapa artis kontroversi antaranya penyanyi dangdut Rosalinda dan Kak KM untuk membuat persembahan pada Soho Festival yang bakal diadakan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, esok hingga 6 Oktober ini.

    "Berdasarkan rekod yang ada, mereka ini tidak memenuhi syarat ditetapkan. Mereka ini tidak dibenarkan buat persembahan di atas atau di bawah pentas.

    "Bagaimanapun Soho Festival ini kita benarkan, tetapi sekiranya melanggar Garis Panduan Bagi Pelaksanaan Program Kesenian dan Kebudayaan negeri, kita akan terus hentikan persembahan," katanya.

    Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/10/382943/tak-lulus-permit-island-music-festival